1.2 DASAR DAN KEPENDUDUKAN BAHASA MELAYU :

Bahasa Melayu Moden 

∎ Bahasa Melayu moden bermula pada abad ke-19 iaitu setelah kedatangan penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
∎ Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
∎ Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.
∎ Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
∎ Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

1.2.1 Asas Pemilihan Bahasa Melayu :

Bahasa Melayu dipilih menjadi bahasa kebangsaan atas dasar bahasa Melayu merupakan

(a) Bahasa kaum majoriti negara ini.
(b) Bahasa yang menjadi alat komunikasi antara kaum.
(c) Bahasa kaum pribumi yang telah meluas penggunaannya.


Tujuan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan ialah untuk mencapai integrasi nasional dan mewujudkan identiti nasional dengan bahasa Melayu.

1.2.2 Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan :

∎ Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

∎ Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Perkara 152. Bahasa kebangsaan :

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa :

(a) Tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan

(b) Tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

(2) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, bahasa Inggeris boleh digunakan di dalam kedua-dua Majlis Parlimen, di dalam Dewan Undangan tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi yang lain.

(3) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, teks sahih—

(a) Segala Rang Undang-Undang yang hendak dibawa atau pindaan kepadanya yang hendak dicadangkan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen; dan

(b) segala Akta Parlimen dan segala perundangan subsidiari yang dikeluarkanoleh Kerajaan Persekutuan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.

(4) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka, dan selepas itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi hendaklah dalam bahasa Inggeris:

Dengan syarat bahawa, jika Mahkamah dan peguam bagi kedua-dua pihak bersetuju, keterangan yang diambil dalam bahasa yang digunakan oleh saksi tidak perlu diterjemahkan ke dalam atau direkodkan dalam bahasa Inggeris.

(5) Walau apa pun peruntukan Fasal (1), sehingga diperuntukkan selainnya oleh Parlimen, segala prosiding di dalam mahkamah rendah, selain pengambilan keterangan, hendaklah dalam bahasa Inggeris.


(6) Dalam Perkara ini, "maksud rasmi" ertinya apa-apa maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

1.2.3 Akta Bahasa Kebangsaan :

Akta ini mengandungi 11 seksyen iaitu:-

1. Tajuk ringkas, pemakaian dan mula berkuat kuasa.
2. Bahasa kebangsaan digunakan bagi maksud-maksud rasmi.
3. Menggunakan terjemahan.
4. Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dilanjutkan.
5. Penggunaan bahasa Inggeris boleh dibenarkan dalam Parlimen dan Dewan Undangan.
6. Teks yang sahih bagi undang-undang.
7. Undang-undang bertulis yang dikanunkan sebelum 1-9-1967.
8. Bahasa mahkamah.
9. Tulisan bagi bahasa kebangsaan.
10. Bentuk angka.

11. Borang.

1.2.4 Akta Pendidikan :

∎ Akta Pendidikan Pendidikan 1996 merupakan lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 bertujuan memantapkan sistem pendidikan kebangsaan sejajar dengan kehendak dan cita-cita Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia. Akta Pendidikan 1996 menampilkan kesinambungan kepada hasrat dan dasar pendidikan yang sedia ada.


∎ Akta ini berpaksi kepada perakuan-perakuan utama Penyata Razak 1956 yang menjadi asas dasar pendidikan kebangsaan. Akta baru ini juga banyak mengekalkan peruntukan yang masih relevan daripada Akta Pelajaran 1961. Tujuan menggubalkan Akta Pendidikan 1996 untuk memperluaskan skop dan memperkenalkan perundangan mengenai pendidikan.

Comments

Popular posts from this blog

KATA BANTU

SINTAKSIS PEMBINAAN AYAT

TATABAHASA BAHASA MELAYU